Kematian Joe disebabkan kanser hati itu diumumkan keluarganya sendiri selepas legenda itu disahkan menghidapi penyakit itu September lalu dan diletakkan di bawah seliaan hospital beberapa hari sebelum tarikh kematiannya.
Tiga pertemuan dalam gelanggang tinju tumpuan ramai itu cukup menjadikan Frazier dan Ali sebagai ikon tinju dunia yang tiada tolok bandingnya.
Trilogi pertembungan dua gergasi sukan yang menjadi fenomena suatu ketika dulu bermula pada tahun 1971 di arena tersohor, Madison Square Garden. Bahkan, ia dilabel sebagai Perlawanan Abad Ini.
Menerusi aksi sulung mereka itu, Ali, ditumbangkan oleh Frazier selepas mengharungi 15 pusingan getir dan seterusnya menjadikan Frazier sebagai peninju pertama menewaskan Ali.
Memori 40 tahun dulu itu sentiasa segar dalam ingatan ketika hayatnya. Ia disuarakan Frazier sendiri beberapa bulan sebelum kematiannya apabila beliau berbicara tentang kehidupan, karier dan hubungannya dengan Ali.
“Ke mana sahaja saya pergi, saya tidak boleh untuk tidak bercakap soal kemenangan itu, ia merupakan perkara terbaik pernah terjadi dalam hidup saya,” kongsi Frazier jujur kepada pemberita The Associated Press (AP).
Dengan jolokan Smokin’ Joe, kemenangan epik itu membuatkan nama Frazier disebut-sebut sebagai seteru utama Ali, malah sehingga akhir hayat Frazier pun, beliau masih tidak boleh lari daripada bayangan Ali.
Dengan berat hanya 93 kilogram, Frazier membuktikan bahawa saiz bukan ukuran untuk menumbangkan lawannya. Beliau membuktikan kejayaan itu pada tahun 1970 tatkala menewaskan Jimmy Ellis di Madison Square Garden.
“Beliau mempunyai fizikal yang agak kecil untuk kategori heavyweight tetapi Frazier cukup terkenal sebagai peninju yang ganas dan mahir melemahkan lawannya menerusi siri tumbukan pantas termasuklah tumbukan sauk kanan yang menumbangkan Ali ketika perlawanan pertama mereka,” dedah penganjur tinju, Don King.
Melengkapkan trilogi Ali-Frazier selaku musuh tradisi ialah pada 1975 dalam perlawanan hebat digelar Thrilla in Manila yang berlangsung di Filipina. Ia menyaksikan kegagalan Joe mengulangi kejayaan pertamanya apabila tewas selepas mengharungi 14 pusingan
No comments:
Post a Comment