Sunday, 10 March 2019

Kenangan Stadium MBPJ Kelana Jaya

Aku mula pergi stadium mbpj kelana jaya ni masa 2010. Waktu tu aku tak tau pape pun pasal kawasan tu. Sampai aku tak pernah tahu pun yang dulu situ ada kompleks Padang Latihan Selangor beserta Kafe Red Giant sekali.

Tapi club house Selangor ni dahpun diambil alih tapak padangnya dan dibangunkan kawasan bisnes center.

Patutla ofis Selangor ada je situ, terbiar kusam dan sendu. Rupa rupanya situ dulu ada legasi besar untuk Gergasi Merah Kuning. Tapi tinggal kenangan je semua tu. Lepas tu Selangor berlatih kat Padang Setiausaha Kerajaan Negeri ( Padang SUK) Shah Alam. Masalahnya, padang tu bukan milik Selangor pun, cuma diberi kebenaran untuk digunapakai semasa sesi latihan. Tak pasti apa cerita dengan pampasan ganti rugi tapak padang latihan kat Kelana Jaya tu. Ada jugak kerjasama pemaju swasta dan kerajaan negeri dimana, Akademi Merah Kuning dibina oleh pemaju swasta dan kos mentenen operasi dibiayai oleh kerajaan negeri sendiri, ini terjadi di zaman TSKI tetapi selepas tu senyap membisu. Sudah sah jadi milik Selangor kah atau kerajaan negeri?? seeloknya biar geng geng penyokong Merah Kuning yang lebih arif tentang perkembangan tim yang komen.

Aduh..jauh dah tersasul ni. Dulu dulu zaman sebelum lrt aliran Kelana Jaya dilanjutkan ke Putra Height (stesen terakhir). Aku akan naik teksi selepas turun di stesen KJ. Selepas tu berunding la dengan gangster teksi pariappa kat bawah tu. Nak tunggu bas bila sampai ?
Dapat la rm8. Nak pergi pun dah seksa, apatah lagi nak balik? time tu memang azab lah kalau nak dapat teksi lagi lagi kalau malam hari. Siang hari pun sama, tapi sebab dah pokai punya pasal, aku gagahkan diri berjalan kaki tepi hiway dari depan Paradigm Mall ke stesen Kelana Jaya. Waktu 2013-14 dah siap dah PM, pastu ada bas shuttle lagi untuk ke lrt. Tapi tak tau plak berapa lama tunggu, rambo jela jalan kaki 45 minit.

Stadium Kelana Jaya ni pun satu, sudahla kedai runcit, medan selera takde. Azab betul kalau lapar. Sunyi sepi je kawasan stadium tu dan tasik sekitarnya. Lepas tu lama jugak aku tak turun ke stadium ni, aku kembali selepas siapnya expansion project laluan lrt Kelana Jaya ke Putra Height. Aku cuma turun di stesen Glenmarie je dan jalan kaki ke stadium. Kurang dari 10 minit dah sampai ke stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya Kelana Jaya. Sesape yang ikut lama hal ehwal bola Malaysia memang akan ingat team, MPPJ Selangor yang pernah mencipta kejutan di liga Malaysia lebih 15 tahun dulu.

Masa pantas berlalu, pasukan-pasukan yang pernah bermain/menjadi penyewa stadium ini seingat penulis, Felda United (sebelum Stadium Jengka siap), Sime Darby(berkubur), Misc Mifa (dijenamakan jadi Petaling Jaya City), PKNS (kini di Stadium Shah Alam), Air Asia All Star kemudian ditukar nama jadi Petaling Jaya Rangers (berkubur).

Pada musim tertentu Stadium MBPJ ditetapkan oleh FAM untuk dijadikan venua pasukan-pasukan liga perdana yang berpangkalan di Selangor dan Lembah Klang sahaja. Sementara itu Stadium MPS Selayang digunakan oleh pasukan liga super berikutan tidak banyak stadium yang memenuhi piawaian yang ditetapkan sesuai untuk liga perdana dan super. Pada waktu itu 2011-2017, stadium seperti stadium DBKL Cheras yang sering digunakan oleh pasukan-pasukan liga super, perdana dan Malaysia tidak dapat digunakan kerana dalam proses renovasi dan kerap kali projek tergendala dan hanya siap menjelang Sukan Sea Kuala Lumpur 2017. Kalau diikutkan, Stadium DBKL itu yang sudah wujud lama sejak era 90an itu tidaklah terlalu usang kerana ia siap direnovasi pada 2004 dan ditutup pada 2011. Hanya sempat digunapakai 7 tahun sebelum 'tidur' 6 tahun.

No comments:

Post a Comment