Saya mahu terus bergerak melangkah ke depan, tetapi ini adalah catatan akhir yang saya rasa penting dan bermakna, sekurang-kurangnya untuk saya. Sebuah catatan pengalaman.

Saya memilih jalan ini, memilih kerja ini ketika anak bongsu saya ketika itu baru berusia 6 bulan, menyusu badan penuh. Kerja saya pula menuntut komitmen yang sangat tinggi. Seolah-olah dah macam Menteri. Ke sana ke sini, urus itu urus ini, beratus-ratus mesej sehari, panggilan telefon tak henti, surat, emel dan segala bagai lagi. Saya angkut beg menyusu saya merata, ke program ke parlimen, ke mesyuarat. Dan tahu bagaimana saya terus boleh bertahan?

Kerana saya direzekikan Allah mendapat ‘bos’ yang baik. Ya, Menteri Agama yang nampak macam muka garang, menakutkan, tidak mesra itu sebenarnya orang yang sangat memahami, selalu boleh mendengar, prihatin dan mudah didekati. Tak pernah lah saya kena marah tak tentu pasal, kena tegur sebab saya memang salah tu memang ada. Beliau juga tidak cerewet, senang diurus. Itu memudahkan kerja saya, membolehkan saya terus bertahan.

Bagaimana rasanya bekerja dengan Menteri Agama yang paling banyak kontroversi, paling banyak dimaki?

Awal-awal bekerja dulu saya susah nak tidur malam. Terlalu banyak serangan terlalu banyak isu dihadapi setiap hari. Ada-ada sahaja, lepas satu, satu yang lain pulak timbul. Masa kes ‘Nisha Ayub’ meletup; saya rasa macam nak pecah kepala, seminggu tak boleh tidur lena.

Tetapi Menteri Agama itu tenang-tenang sahaja. Kami yang tak boleh lena, beliau teruskan saja agenda. Beliau tahu apa yang beliau buat dengan sangat jelas. Jenis yang susah nak apologetik, tegas dengan prinsip. Kami juga yang letih tak tahan kena maki.

Dalam banyak-banyak episod suka duka bekerja dengan Menteri Agama ini, antara yang paling saya ingat saya pernah mengamuk di Whatsapp dan FB, jadi sangat marah bila ada yang mengatakan bahawa Menteri Agama ini mendapat ‘habuan’ hasil komplot dengan DAP / LGE dalam skandal Tabung Haji. Ya, Tabung Haji isu yang sentiasa melingkari kerja kami sejak awal hinggalah akhir.

Saya mengamuk sebab saya tahu perkara ini sangat tidak betul. Tahu kenapa? Sebab saya antara orang yang ada akses kepada akaun bank Menteri Agama ini. Beliau ini sebenarnya tidak berduit sangat. Gaji sebagai Menteri, itulah sahaja satu-satunya sumber pendapatan beliau. Sungguh tak logik kalau tengokkan baki akaun itu kalau nak kata beliau terima habuan.

Jaga pula ‘agama’. Bukan ada projek, tender-tender sangat pun. Saya sendiri 20 bulan bekerja, tak pernah terlibat atau masuk mesyuarat tentang tender projek. Menteri Agama pun sama. Sebab saya yang jaga jadual beliau.

Awal-awal dulu beliau boleh memilih untuk menjadi mana-mana Pengerusi atau Ahli Lembaga Pengarah dalam 14 Agensi Agama yang berada di bawah beliau. Boleh pilih untuk tambah lagi pendapatan. Macam Menteri Agama sebelum-sebelum ini yang memang banyak memegang jawatan dalam agensi. Boleh kira sendiri gaji Menteri tambah gaji/elaun Pengerusi Agensi dan juga Ahli Lembaga Pengarah. Boleh buat duit mudah-mudah.

Saya sendiri pernah mencadangkan beliau menjadi Pengerusi MAIWP. Pengerusi MAIWP ni tak pernah tidak disandang oleh Menteri. Itulah tradisi, itulah yang biasa terjadi. Sekurang-kurangnya bagi saya, adalah satu agensi yang beliau jadi Pengerusi. Itupun beliau tolak mentah-mentah.

Menteri Agama yang selalu dimaki ini ada integriti yang tinggi. Ada prinsip tidak mahu campur tangan atau ada kepentingan dalam agensi-agensi. Itu yang membolehkan saya bertahan terus bekerja. Dengan integriti dan prinsip, kerja kita diberkati.

Bagaimana rasanya bekerja dengan Menteri Agama yang paling banyak kontroversi, paling banyak dimaki?

Menteri Agama ini orang yang penuh dengan idea dan ilmunya tinggi. Sebelum jadi Menteri lagi, saya adalah pembaca tegar buku-buku beliau. Buku-buku yang penuh teori dan idea-idea melangit itu.

Setelah bekerja dan mahu merealisasikan segala idea-idea itu, barulah kami rasa langit itu tinggi ke rendah. Punyalah susah pelaksanaannya. Idea Rahmatan Lil ‘Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia yang menjadi tiga teras penting itu cuba dibawa untuk rentas kementerian, untuk dijadikan dasar negara. Walaupun banyak isu-isu kontroversi-kontroversi yang mengiringi agenda Rahmatan Lil ‘Alamin ini, namun akhirnya berjaya juga diluluskan sebagai dasar rasmi negara dalam kabinet. Disebut oleh YDPA, diluluskan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) dan juga diluluskan Majlis Raja-Raja.

Ada juga beberapa inisiatif ‘rahmah’ yang telah berjaya dibuat seperti Mahkamah Khusus Untuk Kes Hadhanah dan Nafaqah. Akta Profesion Guaman Syarie 2019 yang tertangguh sejak tahun 1982 lagi akhirnya berjaya diluluskan di parlimen. Masjid RAHMAH dilancarkan. My Insaniah untuk anak-anak remaja sekolah dan Mahasiswa Rahmah untuk mahasiswa. Duta Rahmah juga diwujudkan walaupun masih banyak kelemahan.

Banyak lagi inisiatif-inisiatif dan program baru yang telah diwujudkan. Walaupun ada yang tidak dinamakan dengan ‘Rahmah’.

Yang saya ingat, antara idea-idea yang terbengkalai belum sempat disempurnakan seperti RUU Akta Wakaf, Penyeragaman Undang-Undang Jenayah Syariah, penubuhan Jabatan Pendakwaan Syarie Malaysia, Komuniti Rahmah di parlimen-parlimen dan beberapa lagi. Panjang pula nak tulis semua. Memang banyak yang belum turun ke bawah disebabkan tahun pertama kami bertungkus lumus selesaikan diperingkat dasar dan kementerian.

Dengan idea-idea dan penguasaan ilmu yang beliau ada, menyebabkan saya bertahan kerana ada visi dan halatuju hendak ke mana. Boleh nampak walaupun beliau mungkin bukan Menteri yang popular yang disebut-sebut.

Itu belum sentuh bab minat beliau kepada buku, seminar-seminar ilmu lagi. Banyak program yang biasanya Menteri-Menteri ni hadir masa perasmian je, tetapi Menteri Agama ini kalau seminar-seminar, selalunya beliau akan minta saya kosongkan jadual dan beliau akan jadi pendengar setia. Termasuklah seminar Rahmatan Lil Alamin di UIA tahun lalu, yang mana beliau ambil peluang untuk nilai gagasan ini dari sudut akademik.

Menteri Agama yang selalu kontroversi dan dimaki ini ada idea dan gagasan. Walaupun mungkin ada kelemahan terhadap elemen pelaksanaan dan juga aspek penyampaian. Kami akui kami mungkin sangat lemah.

Akhirnya, saya bertahan juga bekerja bersama Menteri Agama yang paling kontroversi dan paling banyak dimaki ini hingga akhirnya. Bersama pelbagai ilmu dan pengalaman baru.

Terima kasih buat YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Menteri Agama yang akan sentiasa dikenang oleh saya walaupun dibenci oleh segelintir manusia.


Nurul Suhadah Shuib

#catatansus
#jpmagamadalamkenangan