Johor Darul Takzim pilihan
|
KALI terakhir Johor Darul Takzim (ketika itu pasukan Johor) menjulang Piala Malaysia ialah pada tahun 1991 selepas menewaskan Kuala Lumpur 2-1 pada perlawanan akhir.
Selepas 23 tahun, skuad dari Selatan tanah air itu kembali mewarnai kancah Piala Malaysia apabila melangkah ke final menentang Pahang di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini.
Kejayaan itu diperoleh selepas menewaskan Felda United 3-1 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos di Larkin Johor Bahru malam kelmarin.
Walaupun tewas 3-4 pada aksi pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang minggu lalu, namun Johor DT mara dengan kelebihan agregat 6-5.
Pahang pula mara ke final selepas mengecewakan Kedah dengan kelebihan agregat 6-3.
Kejayaan melangkah ke final itu telah memberi keyakinan kepada skuad bimbingan Bojan Hodak itu untuk merampas Piala Malaysia daripada tangan Pahang musim ini.
“Tiada yang mustahil jika para pemain meneruskan aksi cemerlang di final nanti. kami sudah sampai ke peringkat ini dan sudah pastinya matlamat kami adalah untuk menjulang piala berprestij itu,” jelasnya.
Mengulas mengenai aksi separuh akhir kedua di Larkin malam kelmarin, Hodak menjelaskan bahawa jaringan kedua pasukannya ketika berdepan Felda United itu menjadi pembakar semangat buat pemain Harimau Selatan untuk memenangi pertemuan tersebut.
Begitupun, pasukan juara Liga Super itu berdepan detik mencemaskan apabila Felda menyamakan kedudukan 1-1 ketika babak pertama untuk menjadikan agregat 5-4, sebelum jaringan kedua Luciano Figueroa selepas rehat kembali menyemarakkan moral pemain Harimau Selatan yang akhirnya menjamin kemenangan mereka menerusi gol ketiga Amri Yahyah.
“Perlawanan malam ini (kelmarin) sememangnya bukan mudah kerana Felda datang ke sini dengan kelebihan jaringan dan pemain mereka lebih banyak bertahan di depan pintu gol sendiri.
“Namun bagi saya, gol kedua daripada Luciano (Figueroa) merupakan jaringan penting yang mengubah suasana perlawanan. Gol itu telah menyuntik semangat dan corak permainan kami untuk terus beraksi lebih baik serta tenang di atas padang, sekali gus berjaya mendapatkan gol ketiga.
“Apa pun, saya gembira dengan kemenangan ini dan juga keseluruhan aksi pemain saya. Mereka bermain dengan baik berbanding perlawanan pertama tempoh hari, malah berjaya mengurangkan kesilapan di atas padang,” jelas Bojan ketika sidang akhbar selepas perlawanan.
Begitupun Bojan agak terkilan apabila kemenangan pasukannya itu dibayar dengan harga yang mahal apabila dua tonggak penting iaitu kapten, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Nazrin Nawi terlepas aksi final 1 November kerana berdepan penggantungan selepas masing-masing menerima kad kuning ketiga dan kad merah pada malam kelmarin.
“Saya perlu melihat semula tayangan video mengapa kedua-dua pemain ini dilayangkan kad kuning dan merah.
“Mungkin kami akan mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai dua insiden ini, namun semuanya akan diputuskan selepas menyaksikan video berkenaan nanti,” tambah Hodak.
Menurut jurulatih kelahiran Croatia itu lagi, tempoh masa seminggu sebelum final dengan Pahang akan digunakan sebaik mungkin untuk merencanakan strategi baharu setelah kehilangan dua pemain utamanya.
“Kami ada masa lebih kurang seminggu lagi dan saya akan lihat siapa pemain yang mengalami kecederaan dan siapa yang tidak. Kami ada cukup pemain yang mampu beraksi di pelbagai posisi, jadi kita tunggu dan lihat saja nanti,” tambahnya lagi.